Blogroll

Pages

Monday, April 14, 2014

Zero To Hero - Irfan Khairi -

Irfan Khairi merupakan seorang jururunding (consultant) yang menganjurkan seminar mengenai perniagaan melalui Internet. Irfan Khairi mendapat ijazah Sarjana Muda Multimedia Design dari Staffordshire University, United Kingdom.

Selepas mendapat ijazah, Irfan telah menerima tawaran bekerja di salah satu syarikat IT terbesar di Birmingham, Netmedia (UK) Ltd. Sebagai pereka sistem multimedia dan perunding Internet, beliau merupakan salah seorang daripada pasukan yang bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di United Kingdom yang dinamakan Learning Grid. Pada ketika ini, lebih dari 5,000 sekolah-sekolah di United Kingdom menggunakan sistem Learning Grid tersebut.
Oleh kerana minat dan latar belakangnya yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau memulakan perniagaannya sendiri di Internet secara sambilan pada tahun 1999.

Selepas mendapati pendapatan dari perniagaan Internetnya adalah lebih menguntungkan berbanding pendapatan bekerja 9-5, beliau mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan Internet miliknya selepas 1 tahun beroperasi.

Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan laptop dan Internet. Beliau berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM 1,000,000.00 dalam masa tiga tahun tanpa kakitangan dan alatan tambahan pada usia 25 tahun dan RM500.00 sebagai modal.

Irfan Khairi di anugerahkan “Anugerah Innovasi Muda 2006 “(Young Innovation Award 2006”)oleh Oxford
Association of Management, United Kingdom berdasarkan kepada keazaman dan kejayaannya. Anugerah itu juga sebagai menghargai usahanya dalam mendidik dan memberi galakan kepada generasi muda Malaysia.

Irfan Khairi pernah menjadi juri dalam rancangan Rural Business Challenge oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan juga juri Biz Challenge oleh PUNB.Beliau juga mempunyai segmen TV mingguan di Hello On Two, TV2 setiap Selasa membicarakan tentang perniagaan dan kewangan dan juga segmen radio mingguan bersama KLFM berkongsi rahsia kejayaan Perniagaan Internet. Blognya, www.irfankhairi.com, mempunyai beberapa juta pengunjung dan juga Facebook & Twitter dengan lebih kurang 150,000 pengikut.

Pakar Internet, Irfan Khairi adalah seorang penceramah, pengarang buku serta personaliti TV & Radio. Selepas menyertai seminar berat dan penyelidikan diri daripada usahawan berjaya, dengan pengetahuan yang terkumpul, Irfan menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd dan telah berjaya mengubah kehidupan ribuan rakyat kepada kehidupan yang lebih baik dan sangat menguntungkan.

Sebagai seorang jutawan pada usia 25 walaupun perniagaan internet, Irfan percaya bahawa 'mind-set' adalah kunci utama untuk membina kekayaan dan telah membantu ramai untuk bebas daripada masalah kewangan mereka.Perniagaan Internet beliau di bawah nama IdeaBubble, sehingga kini telah berkhidmat untuk lebih dari 3,000 pelanggan dari serata dunia. Kebanyakannya dari USA, UK, negara-negara Eropah, hingga ke Timur Tengah, Jepun dan Australia! Antara perniagaan-perniagaan yang berjaya termasuk merekacipta E-book, merekacipta laman web dan grafik, perkhidmatan SEO (Search Engine Optimization), menjual peta, penempahan hotel dan juga perunding Multimedia, E-Niaga dan Pembelajaran.

Sehingga hari ini, Irfan Khairi masih bekerja sepenuh masa di keselesaan rumah menggunakan Internet sebagai sumber pendapatan bersama isteri dan empat orang cahaya mata.Irfan Khairi turut menulis buku Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar sebagai cara menunjukkan cara dirinya dan jutawan-jutawan Internet yang lain menggunakan Internet sebagai sumber pendapatan yang lumayan.

Irfan Khairi dan keluarga

DI sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita yang menyokongnya. Pepatah dari Barat ini amat tepat dengan kehidupan personaliti yang terkenal dengan jolokan ‘jutawan internet’, Dr Noor Irfan Khairi Noor Azmi, 34 atau Irfan Khairi.
Sokongan tidak berbelah bagi isteri tercinta, Shazrina Yusof, 36, sejak hidup bersama kira-kira 10 tahun lalu, membolehkan kejayaan dikecapinya hari ini. Irfan Khairi mula menjadi sebutan ramai selepas kisah kejayaan beliau bergelar jutawan pada usia 25 tahun hasil daripada perniagaan melalui internet dipaparkan media. Bertitik-tolak dari itu, Irfan Khairi aktif menganjurkan bengkel, ceramah dan seminar untuk memberi tip kepada orang ramai mengenai strategi perniagaan internet yang berkesan.

Tanggungjawab Shazrina bukan saja sebagai isteri dan membantu Irfan Khairi menguruskan keluarga dan empat anak mereka iaitu Ilham Abadi, 9; Kasih Kamilia Abadi, 7; Ikhlas Abadi, 5 dan Cinta Strawberry Abadi, 3, malah berganding bahu bersama suami untuk melicinkan urusan syarikat yang ditubuhkan, Irfan Khairi Sdn Bhd.

Kira-kira setahun memulakan hidup berkeluarga di perantauan, Irfan Khairi dan Shazrina membuat keputusan untuk pulang ke tanah air selepas melahirkan anak sulung mereka, Ilham Abadi. Jelas Irfan Khairi, walaupun kawasan Birmingham diduduki ramai komuniti Muslim, jauh di sudut hatinya, beliau inginkan anak-anaknya membesar dalam persekitaran yang dekat dengan asal-usul mereka.
Mengenai rutin harian keluarganya, Shazrina berkata, beliau bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan sarapan, membantu anak-anak bersiap dan menghantar tiga anaknya ke sekolah. Pulang dari menghantar anak-anak ke sekolah, Shazrina bersarapan bersama suami dan selepas itu, mula melakukan kerja rumah sambil melayan anak bongsu.

Jika tidak menghadiri bengkel perniagaan internet, program radio atau televisyen, Irfan Khairi akan bekerja
di bilik yang dijadikan pejabatnya dan turun makan tengahari bersama anak-anak yang sudah pulang dari sekolah. Kemudian, Irfan Khairi dan Shazrina akan membawa anak-anak beriadah di taman dan menyambung semula kerjanya dari jam 10 malam hingga jam 1 atau 2 pagi.
Pada hari minggu pula, bapa penyayang ini lazimnya terikat dengan komitmen bengkel atau program seumpamanya. Sekali-sekala apabila berkesempatan, beliau akan membawa keluarganya membeli belah atau ke taman tema.