Kecacatan Bukan Penghalang Untuk Berjaya
Tengku Arman Haris,
Pengusaha Batik
PROFIL
NAMA
|
:
|
Tengku Arman Harris
|
UMUR
|
:
|
36 tahun
|
TARIKH LAHIR
|
:
|
1972
|
ASAL
|
:
|
Kuala Terengganu
|
PENDIDIKAN
|
:
|
Sek. Men. Pendidikan Khas
Vokasional Shah Alam
|
JAWATAN
|
:
|
Pengasas & Pengurus
Besar Arman Batik
|
STATUS
|
:
|
Berkahwin
|
ISTERI
|
:
|
Azizah Md. Yasin
|
ANAK
|
:
|
Tiada
|
Golongan orang kurang upaya (OKU) kini bukan sahaja mampu menonjolkan
kejayaan mereka sebagai penjawat awam malahan dalam bidang keusahawanan.
Golongan ini dilihat begitu gigih serta memiliki kesabaran yang tinggi
apabila menceburi satu-satu bidang, seolah-olah kecacatan bukan penghalang
untuk mengecapi kejayaan.
Bagi Tengku Arman Harris Tengku Ismail, 36, yang cacat pendengaran,
kegigihan dan ketabahannya menjadikan beliau antara usahawan OKU yang berjaya
dalam perusahaan membuat batik sutera di Terengganu.
Menceritakan pengalaman sebelum menceburi perusahan berkenaan sejak 10
tahun lepas, beliau mula bekerja sebagai pengimpal di sebuah bengkel kenderaan
di Kuala Lumpur pada 1990 selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah
Pendidikan Khas di Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Vokasional di Shah Alam,
Selangor.
Setahun selepas bekerja di ibu kota, beliau yang merupakan anak sulung
daripada enam beradik terpaksa pulang ke Terengganu untuk mengambilalih tugas
sebagai ketua keluarga selepas kematian bapanya, yang terkorban dalam nahas
jalan raya.
TIMBA ILMU
Mengimbas pengalamannya dalam industri pembuatan batik sutera, Tengku
Arman mula bekerja di kilang Romi Batik di Chendering di sini, pada 1991 serta
sebuah syarikat batik di Batu Burok, selama beberapa tahun sebelum membuka
syarikatnya sendiri.
Menurut ibunya, Wan Zaitun Wan Mansur, 59, semasa bekerja di dua tempat
berkenaan, Tengku Arman mempelajari pelbagai cara pembuatan batik sehingga 1996
sebelum membuka sendiri syarikatnya iaitu Arman Batik di rumahnya di Kampung
Tebauk di sini.
Zaiton, yang merupakan jurubahasa isyarat anaknya, berkata dengan
keazaman untuk berjaya dalam industri tersebut, Tengku Arman mendirikan sebuah
bangsal berhampiran rumahnya, dengan mengusahakan pembuatan batik secara kecil-kecilan.
Berbekalkan bakat dan kebolehan anaknya, beliau berkata Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) Terengganu telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM2,000
kepada Tengku Arman untuk mengembangkan perusahaannya.
Beliau berkata, setelah perusahaan anaknya itu menampakkan kejayaan,
Tengku Arman memohon pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Majlis Amanah Rakyat
(Mara) dan perusahaannya bertambah maju sehingga mampu membayar balik pinjaman
dalam tempoh yang singkat.
DUA KEDAI BATIK
"Saya rasa puas apabila Tengku Arman dapat menyelesaikan pinjaman
Mara dalam tempoh yang singkat kerana ia memberi keyakinan kepada Mara untuk
memberi pinjaman kepada golongan sepertinya pada masa akan datang.
"Ini kerana, agak sukar bagi golongan OKU untuk menceburi bidang
perniagaan kerana terdapat segelintir masyarakat yang memandang serong terhadap
mereka," kata Wan Zaitun.
Tengku Arman berkata selain dibantu isterinya, Azizah Md Yassin, 32,
yang juga cacat pendengaran, beliau mempunyai tiga pekerja bagi membantunya
mencating kain-kain batik.
Atas usaha gigihnya, Tengku Arman kini boleh berbangga kerana memiliki
dua buah kedai batik sutera iaitu "Anas Butik" di Subang Jaya, yang
diurus oleh diknya. Katanya, beliau menghasilkan kain-kain batik sutera dengan
dua kaedah iaitu melalui blok serta mencating dan ia dijual antara RM200 dan
RM400 sepasang.
TOKOH OKU
"Gerai musim perayaan, saya akan mengambil ruang di Subang Parade
untuk menjual kain-kain batik sutera saya dan alhamdulillah, sambutan yang
diterima sangat baik," katanya.
Tengku Arman yang mendirikan rumahtangga dengan Azizah sejak tiga tahun
lepas dan belum dikurniakan cahaya mata, berkata beliau sering berulang-alik ke
Kuala Lumpur untuk menghantar kain-kain batik sutera yang dihasilkannya.
Katanya, beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaannya dan
bercita-cita untuk membuka sebuah kedai di sini, tidak lama lagi.
Kesungguhan Tengku Arman dalam industri itu mendapat pengiktirafan dan
beliau merupakan Presiden Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran
Terengganu (PKOCPT) yang pertama sejak ia ditubuhkan pada 2001.
PKOCPT mencapai kegemilangan di bawah kepimpinan Tengku Arman apabila
diiktiraf sebagai persatuan OKU terbaik Terengganu sempena Hari Orang Kurang
Upaya peringkat negeri anjuran JKM pada 2003.
Kebolehan dan pencapaian Tengku Arman itu juga telah melayakkan beliau
menerima pengiktirafan termasuk sebagai Tokoh OKU Bahagian Ekonomi pada 2007
dan Tokoh OKU Keseluruhan pada 2005.